Sunday 24 April 2011

Pantun Nasihat

Planet Marikh dihuni Goku,
Namun kerap diserang Bezita,
Hendaklah kita menghormati guru,
 Agar berjaya di hari muka.

Harry Potter tak makan pedas,
Chicken Little nak selamatkan bumi,
Bila berada di dalam kelas,
Patuhlah arahan guru disayangi.

Hobi Pinocchio mengumpul syiling,
Syiling dibeli dari Thumbelina,
Guru tiada janganlah bising,
Manfaatkan masa dengan bijaksana.

Nobita dan Sinyu bermain catur,
Sizuka dan Shin Chan tunggu giliran,
Bia di kantin hendaklah beratus,
Kerana kita bukan pelarian.

Simfoni Buat SMKSJ

SMKSJ...
Dari celah gelora pembangunan
Bersama gabungan suara rakyat
Kau wujud demi satu tuntutan
Melandai anak-anak yang kehausan ilmu
Yang silih berganti
Memesrai teratakmu.

SMKSJ...
Di sekolah ini
Termaktub janji-janji kami
Meraih ilmu selagi upaya
Bakal menghadapi seribu
Godaan dunia.

SMKSJ...
Jika semalam
Kami datang dengan harapan
Terlalu mentah untuk menatap dunia
Kini kami pergi bersama nur mu
Kan matang berbekal ilmu di dada
Buat meniti buih-biuh
Kehidupan...

SMKSJ tercinta...
Semurni baktimu yang agung
Di sini kami ungkapkan
Setulus rasa kasih... dan ...
Kesetiaan yang padu...
Jua... sekalung doa ikhlas
Maju sempurna, SMKSJ yang unggul...

MAKSUD LOGO SEKOLAH

KOMIK-SMKSJ



Pertandingan Catur Peringkat Sekolah









Saturday 23 April 2011

Semangat Juang

Masihkan ingat awal tahun 2004
Kita awalnya dikumpul di satu tempat
Di suatu sudut yang begitu mampat
Nama SMKSJ, yang kita dapat

Kita adalah pilihan Tuhan
Dengan azam yang jitu
Walaupun dalam sesak, kekurangan ini - itu
Kasih, sayang, cinta - bersemi dan bersatu
'Semangat Juang' - pengukuh hala tuju

Adik-adik dan anak-anakku tersayang
September 2004, pindah kita ke "rumah" sendiri
Banyak yang terencana dapat dijalani
Warga bertambah hari demi hari
Azam dan perjuangan semakin tinggi...

Namun,
Anak-anak dan adik-adikku
Perjuangan itu bukanlah mudah
Jangan sesekali menyerah kalah
-apa jua cabaran, mesti kita redah
-bangun kembali, sekiranya kita rebah

Anak-anakku
Harapan ibu sungguh tinggi
Apabila keluarnya kamu dari "rumah" ini
Bawalah bersama ilmu yang diperolehi
Jadilah insan yang berguna di luar sana nanti
Andainya tidak terjadi, amatlah kecewa ibumu ini...

Adik-adikku
Ingatlah selalu pesanku
"Rumah" ini bukan sahaja tempat mencari rezeki
Tetapi juga tempat beribadah
Selalu kusebut
Kita adalah pilihan Tuhan
Sebagai pemegang amanah
Maka, laksanakanlah dengan hati
Yang penuh tulis dan redha...

Pesanku lagi
Pupuklah kasih sayang sesama kita
Ingatlah, kita satu keluarga
Pabila kebahagian hakiki
Yang kita cari...

Ya Tuhanku
Kupohon restumu
Kau lapangkan dada anak-anak dan adik-adikku
Kau lindungilah mereka dari segala bahaya
Kau berikan petunjuk dan hidayahmu kepada mereka
Kau jadikanlah mereka INSAN yang mulia...


Hasil Nukilan:
Puan Salma Binti Mustapa, November 2006
Pengetua SMKSJ (April 2004 - November 2006)

GURU O GURU

BERBURU ke padang datar
Dapat rasa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberian paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk Manusia sebelum jadi dewasa

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katana menjadi hikmat

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini sesiapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di ibu kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan kerama "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Lagu Bukit Oh Bukit

Atas bukit ada rumput,
Rumput cantik tak pernah lihat,
Rumput atas bukit,
Bukit yang cantik hooi......

Atas rumput ada pokok,
Pokok cantik tak pernah lihat,
Pokok atas rumput,
Rumput atas bukit
Bukit yang cantik hooi......

Atas pokok ada dahan,
Dahan cantik tak pernah lihat,
Dahan atas pokok,
Pokok atas rumput,
Rumput atas bukit,
Bukit yang cantik hooi......
Atas dahan ada ranting,
Ranting cantik tak pernah lihat,
Ranting ada dahan,
Dahan atas pokok,
Pokok atas rumput,
Rumput atas bukit,
Bukit yang cantik hooi......

Atas ranting ada sarang,
Sarang cantik tak pernah lihat,
Sarang atas ranting,
Ranting atas dahan,
Dahan atas pokok,
Pokok atas rumput,
Rumput atas bukit,
Bukit yang cantik hooi......

Atas sarang ada telur,
Telur cantik tak pernah lihat,
Telur atas sarang,
Sarang atas ranting,
Ranting atas dahan,
Dahan atas pokok,
Pokok atas rumput,
Rumput atas bukit,
Bukit yang cantik hooi......

Atas telur ada burung,
Burung cantik tak pernah lihat,
Burung atas telur,
Telur atas sarang,
Sarang atas ranting,
Ranting atas dahan,
Dahan atas pokok,
Pokok atas rumput,
Rumput atas bukit,
Bukit yang cantik hooi......

Atas burung ada kutu,
Kutu cantik tak pernah lihat,
Kutu atas burung,
Burung atas telur,
Telur atas sarang,
Sarang atas ranting,
Ranting atas dahan,
Dahan atas pokok,
Pokok atas rumput,
Rumput atas bukit,
Bukit yang cantik hooi......

Thursday 21 April 2011

Lagu Sekolah

SEMANGAT JUANG

Kami putera puteri harapan
SMK Seremban Jaya
Bersatu bersama membina Negara
Malaysia yang tercinta

Berbekalkan semangat juang
Kualiti visi kami
Berilmu, beramal. ikhlas berbakti
Itulah perjuangan kami.

Eratkan perpaduan
Semaikan nilai-nilai murni
Jalinkan kemesraan
Agar menjadi insan yang berbudi

Kami putera puteri harapan 
SMK Seremban Jaya
Berjanji mencapai visi Negara
Cemerlang, Gemilang, Terbilang

Kemudahan Fizikal SMK Seremban Jaya

SMKSJ terdiri daripada 6 buah blok bangunan yang dinamakan Blok A, Blok B, Blok C, Blok D, Blok E dan Blok F. Premis ini menyediakan bilik darjah yang mencukupi untuk 51 buah kelas. Antara kemudahannya ialah pejabat pentadbiran, bilik guru, bilik gerakan, bilik pemimpin pelajar, bilik sahsiah, bilik peperiksaan, bilik kesihatan, galeri sejarah, gelanggang permainan, padang, dewan serbaguna, kedai fotostat, pondok jaga, surau dan kantin. Selain itu, terdapat juga kemudahan untuk proses P&P seperti makmal sains, bengkel kemahiran hidup, bilik seni, makmal komputer, bilik ERT, bilik perdangangan, perpuastakaan, bilik APD, bilik geografi, bilik matematik dan bilik SAL.Pihak sekolah akan cuba menyediakan kemudahan-kemudahan lain dari semasa ke semasa.
Sehingga kini, SMKSJ telah mencapai banyak kejayaan dan akan terus mencipta kegemilangan, Marilah kita berganding bahu dan berdoa kepada Allah S.W.T. agar SMKSJ terus cemerlang, gemilang, dan terbilang

Sejarah SMK Seremban Jaya

SMK Seremban Jaya (SMKSJ) merupakan sebuah sekolah harian yang terletak di Taman Seremban Jaya. Sekolah ini ditubuhkan pada 1 Disember 2003. Semasa SMKSJ ditubuhkan, sekolah ini tidak mempunyai bangunan sendiri dan disebabkan itu, SMKSJ telah menumpang di SMK Taman Tuanku Jaafar selama lebih kurang 9 bulan. Akhirnya pentadbiran dan pengurusan sekolah berpindah sepenuhnya ke bangunan sendiri pada 26 Septermber 2004.

Puan Salma binti Mustapa merupakan perintis yang menjawat jawatan Pengetua pertama SMKSJ dengan 43 orang kakitangan akademik dan 820 orang pelajar serta 5 orang kakitangan bukan akademik.
Jumlah ini meningkat pada tahun 2005 iaitu seramai 75 orang kakitangan akademik, 1500 orang pelajar dan 9 orang kakitangan bukan akademik. Pada tahun 2006, jumlah kakitangan akademik semakin meningkat iaitu 89 orang seiring dengan peningkatan pelajar iaitu 1750 orang serta 11 orang kakitangan bukan akademik.

Mulai bulan Januari 2007 SMKSJ telah diterajui oleh pengetua baru, Tuan Haji Muhammad Amir bin YM Shariff menggantikan Puan Salma yang telah bersara pada 24hb November 2006. Kini, sekolah ini mempunyai 91 orang kakitangan akademik, 1712 orang pelajar dan 12 orang kakitangan bukan akademik.

SMK Seremban Jaya

Visi SMK Seremban Jaya:
SMK Seremban Jaya akan mencapai taraf kualiti tertinggi dan seimbang dalam semua aspek menjelang 2011 

Misi SMK Seremban Jaya:
Mendidik pelajar SMK Seremban Jaya secara profesional dan berkesan bagi memastikan pelajar mencapai taraf kualiti tertinggi dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan interlek. 

Moto SMK Seremban Jaya:
"SEMANGAT JUANG"

Matlamat SMK Seremban Jaya:
Melaksanakan semua dasar dan program Kementerian Pelajaran Malaysia.
Melahirkan pelajar yang berilmu, berakhlak dan beramal.
Mencapai peratus kelulusan peperiksaan awam melebihi peringkat kebangsaan.
Mencapai kejayaan tertinggi dalam bidang kokurikulam peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Piagam SMK Seremban Jaya:
Kami warga SMK Seremban Jaya dengan penuh tekad dan iltizam dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab, dengan ini berjanji akan menumpukan selurah tenaga dan usaha kami untuk:
Membimbing pelajar dalam membentuk sahsiah yang mulia melalui pemupukan, penghayatan dan amalan nilai-nilai murni sejajar dengan kehendak aspirasi negara.
Memberi kasih sayang, bimbingan, tunjuk ajar dan dorongan serta kerjasama kepada pelajar bagi meningkatkan kecemerlangan pencapaian bidang kurikulum dan kokurikulum. Berusaha mewujudkan budaya dan iklim sekolah kondusif, bersih, sihat, ceria dan penyayang.
Sentiasa berhubung, berbincang dan bekerjasama dengan ibu bapa atau penjaga demi kesejahteraan dan kepentingan pelajar.
Mempertingkatan tahap professionalisme guru dan kakitangan melalui program dan aktiviti yang dirancang bagi memastikan pendidikan bermutu.
Mewujudkan perkhidmatan bersih, cekap, amanah, cepat dan betul di kalangan kakitangan sokongan dalam usaha melicinkan pengurusan dan pentadbiran.
Bersedia menerima dan memberi kerjasama kepada 'stakeholder' dan komuniti  yang berkaitan dengan sekolah.

Objektif SMK Seremban Jaya:
Melahirkan pelajar Malaysia yang taat setia dan bersatu padu.
Melahirkan insan yang beriman, berakhlak mulia, berketrampilan dan sejahtera.
Memastikan guru-guru dan staf sokongan yang cukup bagi keperluan dan kemajuan sekolah.
Memberikan peluang-peluang pendidikan kepada semua warganegara Malaysia.